Kelibat dua remaja lelaki memecahkan tabung Masjid Kariah Batu 17, Chembong. FOTO Ihsan PDRM
Kelibat dua remaja lelaki memecahkan tabung Masjid Kariah Batu 17, Chembong. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


DUA remaja diburu polis apabila mencuri RM300 dalam tabung Masjid Kariah Batu 17, Chembong, di Rembau, semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kejadian 11.30 pagi disedari kariah wanita berusia 60 tahun ketika mahu membersihkan bahagian dalam masjid.

Katanya, warga emas itu mendapati tabung yang diletakkan di ruang solat wanita dipecahkan dan wang sumbangan orang ramai dicuri.

“Wanita ini membuat laporan di Balai Polis Chembong 1 tengahari sebelum sepasukan anggota ke lokasi,” katanya memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Anuar Bakri berkata, wanita itu memaklumkan sebaik menunaikan solat Subuh pada 6.30 pagi, tabung itu dilihat dalam keadaan baik.

“Sekembalinya wanita itu untuk membersihkan masjid, dia mendapati kunci mangga dipecahkan. Polis difahamkan kejadian ini pertama kali berlaku,” katanya.

Menurut Anuar Bakri, pemerhatian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid mendapati dua remaja lelaki melakukan kegiatan berkenaan.

“Kedua-dua suspek juga mahu memecahkan tabung masjid di ruang solat lelaki, namun tidak berjaya. Mereka hanya dapat melarikan RM300 dalam tabung di ruang solat wanita,” katanya.

Beliau berkata, siasatan forensik turut menemui enam kesan cap jari dan kedua-dua suspek kini giat diburu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 1:24 PM