TINDAKAN empat penjenayah cuba menyamun kedai emas di Puchong Perdana, Subang Jaya, malam kelmarin, dirakam CCTV di premis berkenaan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
TINDAKAN empat penjenayah cuba menyamun kedai emas di Puchong Perdana, Subang Jaya, malam kelmarin, dirakam CCTV di premis berkenaan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


EMPAT penjenayah berputih mata selepas gagal menyamun kedai emas di Puchong Perdana, Subang Jaya, malam kelmarin.

Dalam kejadian 7.40 malam itu, keempat-empat penjenayah berkenaan yang memakai topi keledar berpenutup muka dilihat memasuki premis berkenaan dengan bersenjatakan kapak dan parang.

Berdasarkan rakaman kamera tertutup (CCTV) di kedai terbabit, tiga daripada empat suspek cuba memecahkan cermin meja pameran.

Sumber berkata, mereka dilihat mengetuk cermin meja pameran itu lebih 20 kali secara bergilir-gilir dalam tempoh hampir 20 saat.

“Bagaimanapun, tindakan mereka mengetuk cermin berkenaan gagal menyebabkan semua suspek terus melarikan diri dengan memecut dua motosikal diletakkan berhampiran premis terbabit.

“Pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran kedua-dua motosikal itu didapati palsu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Sehingga kini, belum ada tangkapan dibuat dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyamun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 10:37 AM