FOTO Amir Irsyad Omar
FOTO Amir Irsyad Omar
Oleh Salman Hamat


Bukit Mertajam: Dua lelaki menunggang motosikal menyamun sebuah kedai emas di Jalan Pasar di sini, 12.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, suspek terbabit terus meluru ke dalam premis itu sebelum seorang dari mereka mengetuk meja pameran dipercayai menggunakan tukul besi.

"Selepas meja pameran berkenaan pecah rakan suspek terus mengaut barang kemas berkenaan dan kedua-duanya terus melarikan diri.

"Pemeriksaan mendapati suspek melarikan satu dulang barang kemas namun nilainya belum dapat dipastikan dan kami akan melakukan semakan dengan pemilik kedai terbabit," katanya.

Rusli berkata, ketika kejadian dua pelanggan dan empat kakitangan berada dalam premis berkenaan namun tidak sempat berbuat apa-apa berikutan kejadian yang berlaku amat pantas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:34 PM