PEMANDU dan kelendan maut apabila lori treler dengan muatan besi terbabas di Kilometer 55, Jalan Lipis – Merapoh (Jalan Lama) hari ini. FOTO Ihsan PDRM
PEMANDU dan kelendan maut apabila lori treler dengan muatan besi terbabas di Kilometer 55, Jalan Lipis – Merapoh (Jalan Lama) hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Roselan Ab Malek

Lipis: Pemandu dan kelindan maut selepas treler membawa muatan besi dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Lipis-Merapoh, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi, mangsa dikenali sebagai Mohamad Syawal Ahmad Basri, 34, dan kelindannya Mohd Faizal Mohd Noor, 35, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku ketika treler terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lipis menghala ke Merapoh.

"Apabila melalui jalan berselekoh dan menuruni bukit, treler berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke arah bahu jalan sebelah kiri.

"Pemandu Mohamad Syawal berasal dari Tapah Road, Perak tersepit di tempat duduk pemandu, manakala Mohd Faizal dari Kampong Kemumin, Kota Bharu tercampak ke luar dan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis berkata, seramai lima anggota dan seorang pegawai dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, pihak bomba turut mendapatkan bantuan kren bagi mengeluarkan mangsa di bawah muatan besi.

"Mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 2:05 PM