GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Ekhwan Haque Fazlul Haque

[email protected]

PELAJAR lelaki sebuah sekolah menengah parah selepas ditikam lelaki tidak dikenali di Jalan Perkuburan, Batu 10 Jalan Matang di Kuching, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, mangsa berusia 17 tahun terbabit cedera di perut selepas ditikam menggunakan pisau lipat.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhasaan berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai berjalan seorang diri menuju ke rumah kawannya.

Beliau berkata, setibanya di satu lokasi, seorang lelaki menaiki sebuah Proton Wira kemudian menyapa mangsa.

“Suspek kemudiannya keluar dari kereta dan menghampiri mangsa seperti mahu bertanyakan sesuatu.

“Lelaki terbabit kemudian mengeluarkan pisau lipat dari poket seluarnya lalu menikam mangsa di perut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aidil berkata, terkejut dengan tindakan suspek, mangsa bergelut dalam usaha untuk menyelamatkan diri sehingga turut cedera di lutut.

Katanya, selepas menikam dan melihat mangsa terbaring berlumuran darah, suspek terus meninggalkan mangsa bersendirian.

“Mangsa ditemui orang awam sebelum membawanya ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, dia sudah dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan keterangan, mangsa tidak mengetahui motif dia ditikam dan suspek tidak melarikan barangan berharga miliknya.

“Sehubungan itu, polis giat mengesan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 2:10 PM