GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


AKIBAT tidak berpuas hati dengan status dimuat naik di laman sosial Facebook menyebabkan seorang lelaki warga Indonesia menikam perut rakan senegaranya selepas mereka bergaduh di hotel dekat Jalan Bagan Luar, Butterworth, malam tadi.

Dalam kejadian 9.05 malam itu, suspek berusia 25 tahun dipercayai tidak dapat mengawal emosinya lalu menikam perut mangsa berusia 29 tahun dengan pisau lipat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pengurus hotel mengenai pergaduhan membabitkan pekerja mereka.

“Hasil siasatan mendapati suspek menikam perut mangsa hingga tembus dan berdarah dengan menggunakan pisau lipat sebelum pergaduhan itu dileraikan rakan mereka yang lain.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke klinik swasta untuk menerima rawatan dan dirujuk ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

“Polis merampas sebilah pisau lipat, sehelai seluar berwarna hitam, sehelai baju berwarna biru dan sebuah telefon bimbit jenama Samsung Duos berwarna emas milik suspek untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif dadah dan tiada rekod lampau,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 8:31 PM