AHLI keluarga bayi yang koma selepas didera pengasuh menunggu di perkarangan unit rawatan rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
AHLI keluarga bayi yang koma selepas didera pengasuh menunggu di perkarangan unit rawatan rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque

Ekhwan Haque Fazlul

“APA dosa anak saya diperlakukan sebegitu sehingga tidak sedarkan diri. Hanya disebabkan permintaan untuk menaikkan yuran asuhan tidak dipersetujui, anak saya menjadi mangsa dia melepaskan geram,” luah ibu bayi lelaki yang kini koma dipercayai didera pengasuh di Batu Kawa, di Kuching.

Wanita berusia 17 tahun itu berkata, anaknya yang berusia 14 bulan itu dihantar dalam keadaan sihat, namun tidak menyangka keengganannya untuk menuruti permintaan pengasuh berusia 23 tahun itu untuk menaikkan yuran asuhan menyebabkan anaknya didera.

Beliau berkata, wanita berusia 23 tahun itu dikenali menerusi Facebook selepas menawarkan perkhidmatan asuhan kanak-kanak dengan yuran sebanyak RM200 sebulan.

“Saya dan suami bertemu dengan wanita itu (suspek) dan kami bersetuju dengan tawaran yang diberikan, namun selepas beberapa hari menghantar anak, dia meminta yuran asuhan dinaikkan sehingga RM700.

“Kami tidak bersetuju dengan permintaannya yang keterlaluan. Dia memberi alasan makan dan minum anak serta sering lewat mengambil anak menjadi punca yuran asuhan dinaikkan.

“Yuran asuhan memang belum dijelaskan kerana anak kami baru diasuh tiga minggu lalu dan alasan diberikan suspek kami tidak membayar upah kepadanya adalah tidak benar,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak, di Kuching, hari ini.

Katanya, pada hari kejadian, suspek dalam keadaan cemas menghantar pesanan suara menerusi Whatsapp yang mengatakan anaknya menangis tanpa henti.

Menurutnya, dia dan suami yang berusia 21 tahun kemudian bergegas dari tempat kerja menaiki motosikal untuk mengambil anaknya, namun terkejut melihat mangsa dalam keadaan tidak bernafas dan pucat.

“Saya dan suami tidak tentu arah, namun bersyukur kerana ada seorang lelaki sudi menghantar kami ke HUS untuk rawatan lanjut dengan menaiki keretanya.

“Tidak dapat saya gambarkan perasaan ketika itu kerana apa yang penting anak saya segera dihantar dan menerima rawatan secepat mungkin,” katanya.

Katanya, berdasarkan pemantauan rapi doktor, anaknya kini masih memerlukan bantuan alat pernafasan, namun jangkitan kuman pada paru-paru sudah pulih.

Katanya, beliau dan suami kini berdoa agar anaknya kembali pulih seperti sedia kala dan akan lebih berhati-hati selepas ini untuk menghantar anak mereka ke rumah pengasuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhasaan berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut terhadap suspek dan berkemungkinan tempoh reman yang akan berakhir esok akan dilanjutkan.

“Polis perlu melengkapkan siasatan dengan mendapatkan keterangan daripada ibu bapa mangsa, namun setakat ini tiada sebarang tangkapan baru dibuat,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, bayi lelaki berusia 14 tahun kini koma selepas didera pengasuhnya selain tidak diberikan makan dan minum sepanjang asuhan sejak tiga minggu lalu.

Berita berkaitan

Tergamaknya kamu...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 3:43 PM