Najib bersama tetamu menunaikan solat jenazah yang diimamkan oleh Dr Juanda jaya ketika hadir untuk memberi perhormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di Damai Jaya, Santubong. FOTO AIZUDDIN SAAD
Najib bersama tetamu menunaikan solat jenazah yang diimamkan oleh Dr Juanda jaya ketika hadir untuk memberi perhormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di Damai Jaya, Santubong. FOTO AIZUDDIN SAAD

Shamran Sarahan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

[email protected]

Santubong: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba kediaman Tan Sri Adenan Satem di Damai Jaya, di sini, bagi memberikan penghormatan terakhir, malam tadi.

Najib bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba kira-kira jam 11.50 malam diiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 35 minit menziarahi jenazah Ketua Menteri itu selain bertemu dengan isteri dan keluarga Allahyarham.

Najib mewakili Kerajaan Pusat mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Adenan dan rakyat Sarawak.

"Bagi negara kita kehilangan seorang pemimpin yang amat berwibawa.

"Bagi rakyat Sarawak pula, kita kehilangan Ketua Menteri yang disayangi dan disenangi rakyat. Ketika menjadi Ketua Menteri, beliau, melakukan pelbagai dasar dan pembaharuan untuk rakyat," katanya ketika ditemui media.

Beberapa Menteri Kabinet Sarawak berada di kediaman Adenan bagi memberi penghormatan terakhir sejak petang tadi.

Turut kelihatan Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin, Menteri Besar Perak Datuk Zambry Abdul Kadir, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Antara lain yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri dan beberapa lagi Menteri Persekutuan.

Allahyarham meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan jam 1.20 tengah hari semalam kerana kompliasi jantung dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang selepas Zuhur.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 1:45 AM