PHILIP
PHILIP

Ekhwan Haque Fazlul Haque

[email protected]

SUSPEK utama kes bunuh seorang wanita di Jalan Tiong Hua 1, Sibu, pada 2 Ogos lalu, ditemui dalam keadaan lemah selepas meminum racun di sebuah rumah panjang di Julau, hari ini.

Philip Uja, 42, ditahan sepasukan polis yang menjalankan gerakan mengesannya sehari selepas kejadian.

Lelaki terbabit meminum racun yang dipercayai baja urea yang sudah dibancuh dengan air sebelum memuntahkan semula racun berkenaan.

Sumber berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditemui bersama botol plastik lut sinar di dalam tandas dan dipercayai meminum racun berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

“Polis menjalankan serbuan di rumah panjang berkenaan selepas mendapat maklumat risikan suspek bersembunyi di lokasi berkenaan.

“Suspek dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut kerana dipercayai meminum sejenis cecair yang menyebabkan beliau lemah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian 3.45 petang 2 Ogos lalu, Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, yang juga kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditemui mati dengan keadaan tangan dan kakinya diikat.

Mayat mangsa ditemui oleh rakan sekerjanya yang bergegas ke bilik sewanya apabila wanita itu tidak hadir syif tugasannya dan gagal dihubungi.

Bedah siasat ke atas mayat Nurnia Azalea mendapati wanita itu maut berikutan kecederaan pada kepala akibat dihentak benda tumpul.

Terdapat pendarahan di bawah selaput otak serta pendarahan di permukaan otak, retak tengkorak dan lebam yang menyeluruh di bawah kulit kepala mangsa.

Berita berkaitan:

Di manakah Philip Uja?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 4:09 PM