Ahli-ahli PKR beratur panjang pada proses pemilihan parti di Cabang Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ahli-ahli PKR beratur panjang pada proses pemilihan parti di Cabang Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Khairul Azran Hussin


JAWATANKUASA Pemilihan Parti (JPP) digesa menyiasat dakwaan calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli bahawa terdapat campur tangan pengawas di pusat pemilihan yang meminta ahli mengundi calon tertentu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, perkara itu perlu dipandang serius jika benar terdapat ahli yang menerima desakan atau paksaan daripada pihak tertentu ketika proses mengundi.

“Bagi saya kalau ada pihak yang berkempen atau minta ahli untuk mengundi calon tertentu, ia bukanlah satu bentuk gangguan. Namun jika ada desakan secara kasar atau ugutan, ia tidak boleh diterima sama sekali.

“Apa pun, JPP perlu siasat dakwaan ini. Kita tidak mahu ia memberi gambaran tidak elok kepada perjalanan pemilihan PKR,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Hi-Tea Menteri Besar Selangor bersama Media di Shah Alam, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Rafizi terdapat campur tangan pengawas yang mengundi bagi pihak ahli parti serta meminta ahli memilih calon tertentu semasa proses pengundian di cabang Labis, Johor.

Rafizi mendakwa mempunyai bukti berhubung perkara itu serta menggesa JPP membatalkan keputusan pemilihan PKR Cabang Labis, malah akan menghantar laporan lengkap mengenai kemenangan yang didakwa meragukan itu.

Keputusan pemilihan PKR di Johor menyaksikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengatasi Rafizi dengan majoriti 827 undi sahaja.

Mohamed Azmin mendapat 5,852 undi manakala Rafizi mendapat 5,025 undi.

Sebelum ini, Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din meminta Rafizi Ramli menunjukkan bukti bahawa terdapat salah laku membabitkan pengawas JPP.

Dalam pada itu, Amirudin berharap sistem e-voting yang digunakan untuk proses pemiihan di Selangor pada 14, 21 dan 28 Oktober berjalan dengan baik.

“Selepas insiden di Kedah ketika sistem ini digunakan buat pertama kali, kita nampak ada peningkatan dengan sistem e-undi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 9:11 PM