JOHARI Abdul. FOTO Salhani Ibrahim
JOHARI Abdul. FOTO Salhani Ibrahim
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR kelmarin yang menerima keputusan pemilihan Cabang Julau, Sarawak diterima dengan nada berbeza oleh kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Calon Naib Presiden PKR, Datuk Johari Abdul misalnya, menganggap ia bukan keputusan rasmi memandangkan masih banyak isu berbangkit yang belum diselesaikan oleh JPP.

Kata Johari, banyak isu dibangkitkan sebelum ini seperti masalah undi ragu, pencerobohan data, jumlah pengundi berbeza dan sebagainya masih tidak diselesaikan sepenuhnya.

“Difahamkan, Biro Politik PKR mengadakan mesyuarat malam ini (malam tadi) bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Terima atau tidak keputusan JPP itu, semuanya terpulang kepada hasil mesyuarat itu nanti,” katanya, semalam.

Beliau mengulas laporan mengenai keputusan JPP kelmarin, yang menerima pakai keputusan pemilihan PKR Cabang Julau dan tidak mengadakan pemilihan semula memandangkan perincian undi direkodkan dan analisis teknikal menunjukkan tiada undi tercicir dan keputusan pengundian berkenaan sebenarnya boleh diterima pakai.

Pengerusi JPP PKR Datuk Rashid Din pada kenyataan berkata, analisis hasil kiraan undi membuktikan semua data selamat dan berjaya dimuat naik ke pelayan sistem walaupun ada aplikasi e-undi pada enam unit tablet disapu bersih oleh perisian Prey Anti-Theft.

Kata Rashid, pihaknya juga mengadakan mesyuarat kelmarin, dan mendengar penjelasan daripada Unit Operasi serta Unit Sistem dan IT serta mengambil kira laporan teknikal daripada pihak pembangun sistem e-undi.

“Keputusan pemilihan PKR bagi Cabang Julau, Sarawak dimuat naik dalam portal rasmi Pemilihan Parti (www.pemilihan keadilan2018.com) dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 11:50 AM