Nur Aqidah Azizi dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


CALON Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan calon lain yang turut hadir ke masjid sepanjang tempoh berkempen.

“Saya pergi sembahyang, bagi tazkirah di masjid kerana dijemput. Calon lain pun ada juga pergi masjid, boleh pula?” katanya selepas Program Sembang Santai Usahawan Desa dan Sahabat AIM di Bilik Gerakan Utama PRK Port Dickson, hari ini.

Ketua Umum PKR itu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa pihak mempertikaikan kehadirannya di masjid kononnya untuk berkempen.

Sementara itu ketika berucap, Anwar melahirkan rasa gembira apabila mengetahui Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad akan datang membantunya berkempen, Isnin ini.

“Penting bagi Dr Mahathir datang ke sini untuk berkempen bagi menaikkan semangat pengundi.

“Beliau tidak pernah turun berkempen di mana-mana PRK sebelum ini. Jelas ini satu petanda baik untuk Port Dickson,” katanya.

Dalam satu majlis di ibu negara hari ini, Dr Mahathir menyatakan hasrat turun ke Port Dickson pada Isnin ini bersama ketua parti komponen PH lain untuk berkempen.

Beliau berbuat demikian bagi menjawab tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 7:34 PM
ANWAR menyampaikan ucapan ketika hadir pada Program Sembang Santai Usahawan Desa dan Sahabat AIM di Bilik Gerakan Utama PRK, Water Front. FOTO Aswadi Alias.
ANWAR menyampaikan ucapan ketika hadir pada Program Sembang Santai Usahawan Desa dan Sahabat AIM di Bilik Gerakan Utama PRK, Water Front. FOTO Aswadi Alias.