DR Wan Azizah bersalaman dengan  penduduk yang hadir  program Karnival Mini Keluarga Bestari  di Taman Intan Perdana, Telok Kemang.
DR Wan Azizah bersalaman dengan penduduk yang hadir program Karnival Mini Keluarga Bestari di Taman Intan Perdana, Telok Kemang.
Nur Aqidah Azizi dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Port Dickson: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yakin kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, mampu meningkatkan sokongan terhadap calon.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama antara Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat bakal menjadi gandingan mantap.

Beliau berkata, gabungan dua individu itu jelas menunjukkan sesuatu yang positif terhadap aktiviti kempen Anwar.

“Alhamdulillah, kita sangat bangga dan terharu kerana selalunya Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri tidak akan turun berkempen dalam PRK.

“Bagaimanapun, kali ini beliau memilih untuk datang ke Port Dickson bagi memberi sokongan dan berkempen untuk Anwar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Mini Keluarga Bestari di Taman Intan Perdana di sini semalam.

Dr Mahathir dijangka ke Port Dickson untuk membantu kempen Anwar.

Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengosongkan kerusi Port Dickson pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 10:46 AM