ANWAR. FOTO Rasul Azli Samad
ANWAR. FOTO Rasul Azli Samad
Fairuz Zaidan dan Amir Mamat

KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan parti yang berlangsung ketika ini tidak perlu ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Beliau berkata, ini kerana tempoh berkempen untuk pemilihan kepemimpinan PKR sejak sebulan lalu memadai untuk calon dinilai oleh ahli parti.

“Bagaimanapun, cadangan itu baik tetapi saya fikir tempoh berkempen (Pemilihan PKR) sudah di peringkat akhir dan tumpuan masih boleh diberikan pada PRK Parlimen Port Dickson," katanya.

Beliau mengulas cadangan Naib Presiden PKR yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin, hari ini, yang mencadangkan supaya pemilihan di semua peringkat kepemimpinan parti itu ditangguhkan sementara bagi memberi laluan untuk PRK Parlimen Port Dickson.

Untuk rekod, pemilihan kepemimpinan PKR akan bermula 22 September ini hingga 21 Oktober depan.

Terdahulu, Anwar menghadiri Majlis Agenda Malaysia Baharu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di Ayer Keroh, malam tadi.

Ia turut dihadiri Shamsul Iskandar bersama 1,000 pemimpin dan ahli PKR negeri.

Beliau turut mengadakan perjumpaan tertutup bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Adly Zahari di lokasi sama.

Sementara itu, mengulas mengenai kesediaan beberapa pihak yang ingin membantunya berkempen di PRK Port Dickson, Anwar secara terbuka menyambut baik hasrat berkenaan.

“Kita ada jentera PRK sendiri. Bagaimanapun, saya sedia menyambut sesiapa saja yang ingin membantu.

“Tidak kira sama ada daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) atau PAS, saya sedia menerimanya," katanya yang mengulas kesediaan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menawarkan diri berkempen untuk Anwar pada PRK di Port Dickson.

Selain Nazri, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos turut dilaporkan bersedia untuk membantu kempen Anwar di Port Dickson.

Ditanya mengenai tahap kesihatan beliau untuk PRK terbaharu itu, seterusnya menjadi bakal Perdana Menteri ke-8, Anwar menegaskan bahawa tahap kesihatannya semakin baik.

"Saya tak ada masalah kesihatan kerana (niat) untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya hanya memerlukan rawatan fisioterapi sekali seminggu. Itu tidak akan menjejaskan khidmat bakti saya kepada rakyat," katanya.

Semalam, NSTP melaporkan Anwar akan bertanding di Parlimen Port Dickson, dalam usaha PH mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pengumuman itu dibuat Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang akan mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 12:14 AM