ISA Samad ditemui di Kampung Bagan Pinang. (Gambar kecil) Anaknya, Mohd Najib. FOTO Iqmal Haqim Rosman / arkib NSTP
ISA Samad ditemui di Kampung Bagan Pinang. (Gambar kecil) Anaknya, Mohd Najib. FOTO Iqmal Haqim Rosman / arkib NSTP
Syed Umar Ariff dan Ifwan Tun Tuah


“Dia berani buat, dia berani tanggung.”

Begitu jawapan ringkas Tan Sri Mohd Isa Samad menjawab ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan anaknya, Mohd Najib yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Port Dickson, dikenakan tindakan kerana berkempen untuknya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Mohd Isa berkata, anak sulungnya itu sudah cukup matang dan mempunyai pengalaman luas dalam dunia politik untuk membuat keputusan sendiri.

"Saya tidak suruh dia bantu kempen, tapi sebagai anak dia faham sendiri. Saya juga tak nasihatkan dia untuk sertai parti lain jika UMNO ambil tindakan terhadapnya.

"Saya tidak kecewa jika UMNO berbuat demikian (ambil tindakan). Banyak parti lain lagi, apa nak kecewa pula.

"UMNO yang patut kecewa kerana akan kehilangan tokoh pemimpin muda sepertinya," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi rumah ibu saudaranya, Fatimah Abdul Jalil, 80, dalam siri kempennya di Kampung Bagan Pinang di Port Dickson, hari ini.

Semalam Mohd Najib berkata, sebagai anak beliau bertanggungjawab memberi sokongan kepada bapanya yang bertanding atas tiket Bebas dan terpulang kepada kepemimpinan tertinggi UMNO untuk membuat keputusan mengenainya.

Mohd Isa berkata, UMNO boleh membuat pelbagai tafsiran mengenai tindakannya keluar parti dan bertanding sebagai calon Bebas, namun menjadi kerugian jika tindakan diambil terhadap ahli atau pemimpin yang menyokongnya kerana secara dasarnya beliau menentang musuh UMNO iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PORT DICKSON 01 OKTOBER 2018. Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Isa Samad ketika ditemui petugas media pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson. NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN
PORT DICKSON 01 OKTOBER 2018. Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Isa Samad ketika ditemui petugas media pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson. NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Mohd Faizal Ramli berkata, walaupun Mohd Najib adalah Ketua Pemuda UMNOPort Dickson, mereka melihat kedudukannya lebih cenderung membantu bapanya sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

"Dari segi hubungan keluarga itu, tak adalah kita nak halang, namun dari segi (tindakan) parti, itu terpulang pada Lembaga Disiplin UMNO.

"Jentera bahagian telah dimaklumkan tidak boleh mengambil bahagian kerana UMNO memboikot PRK berkenaan atas asas tidak suka dengan sebab ia diadakan.

"Bagaimanapun, ahli tidak dihalang keluar mengundi dan bebas mengundi siapa saja pilihan mereka pada 13 Oktober ini," katanya ketika dihubungi NSTP di Port Dickson, hari ini.

Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Ketua UMNO bahagian Teluk Kemang (kini Port Dickson), mengumumkan keluar parti kerana mahu bertanding sebagai calon Bebas di PRK Port Dickson selepas BN dan UMNO memboikot pilihan raya itu.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS dan lima calon bebas termasuk Mohd Isa dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen itu dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 6:52 PM