LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai empat kanak-kanak melarikan diri dari rumah kebajikan di Kepala Batas, Pulau Pinang, Ahad lalu.
LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai empat kanak-kanak melarikan diri dari rumah kebajikan di Kepala Batas, Pulau Pinang, Ahad lalu.
BERNAMA

EMPAT kanak-kanak lelaki yang melarikan diri dari Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas, Ahad lalu, ditemui dalam keadaan selamat di Alor Setar, Kedah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka ditemui secara berasingan di beberapa lokasi di Alor Setar, Kedah antara 4.30 petang dan 5.45 petang semalam.

“Polis melancarkan Ops Kesan diketuai Asisten Superintendan Mohd Yusof Ibrahim dan berjaya mengesan empat kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun berkenaan.

“Semasa ditemui mereka dalam keadaan selamat dan kesihatan baik kecuali seorang demam,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak pertama yang ditemui ialah Muhammad Aiman Abdul Razzaq, 12, di sebuah rumah di Taman Selesa pada 4.30 petang, namun dia kurang sihat kerana demam manakala Idris Hakim Haslan, 11, ditemui di rumah kosong di Jalan Menanti pada 5.45 petang.

Katanya, dua lagi kanak-kanak iaitu Muhammad Nur Iman Abdul Mu’min, 9, dan Muhammad Nur Khidir Azri, 12, ditemui sedang berjalan-jalan di Stesen Bas Shahab Perdana pada 5.45 petang.

“Semua kanak-kanak itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak media dan orang ramai yang menghebahkan dan menyalurkan maklumat berhubung kehilangan empat kanak-kanak berkenaan sehingga mereka ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Empat kanak-kanak itu disedari hilang oleh petugas di rumah perlindungan berkenaan pada 10 malam Ahad lalu dan dipercayai mereka melarikan diri dengan keluar melalui tingkap bilik asrama mereka.

Berita berkaitan

'4 budak lari dari rumah kebajikan'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 12:31 AM