Caption<KEADAAN dapur sebuah rumah yang ranap dalam kejadian tanah runtuh di Taman Shanghai, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Caption<KEADAAN dapur sebuah rumah yang ranap dalam kejadian tanah runtuh di Taman Shanghai, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Hasbi Sidek


KERJA mengorek tanah di tapak pembinaan terletak di belakang deretan rumah teres di Taman Shanghai, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dikenal pasti menjadi punca kejadian cerun runtuh, petang semalam.

Kejadian itu menjejaskan tiga rumah teres di Lorong Pisang 1 di kawasan perumahan berkenaan termasuk binaan tambahan bahagian dapur salah sebuah rumah ranap sama sekali.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Azahar Rabu berkata, pihaknya menasihati penghuni di tiga rumah yang terjejas supaya mengosong kediaman masing-masing.

“Selepas membuat pemantauan petang semalam, kami mendapati runtuhan cerun berlaku sepanjang 4.5 meter hingga enam meter.

“Malah, keadaan rumah pertama dilihat agak bahaya berikutan tanah pada bahagian bawah lantainya sudah runtuh dan hanya tinggal lantai tanpa sokongan.

“Pihak kami khuatir jika berlaku hujan lebat, tanah akan runtuh lagi dan mungkin akan menyebabkan keadaan lebih teruk. Buat masa ini, bahagian dapur rumah kedua sudah runtuh sepenuhnya,” katanya.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk melihat kembali situasi pergerakan tanah di kawasan itu.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Lumpur, Kapten (PA) Aziana Hizazi berkata, pihaknya bekerjasama dengan beberapa agensi lain dalam memastikan keadaan penghuni selamat.

“Kejadian ini menyebabkan tiga rumah teres terjejas di mana rumah kedua paling teruk, manakala rumah ketiga hanya mengalami tanah runtuh tanpa membabitkan struktur rumah.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera atau maut dalam kejadian ini,” katanya.

Nota: Kondominium Avantas Residence yang terletak berhampiran kawasan kejadian tidak ada kaitan dengan insiden cerun runtuh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 7:42 PM