TANAH runtuh di Taman Bukit Sentosa menimbulkan kebimbangan kepada penduduk. FOTO Ahmad Hasbi.
TANAH runtuh di Taman Bukit Sentosa menimbulkan kebimbangan kepada penduduk. FOTO Ahmad Hasbi.
Ahmad Hasbi


Seremban: Penghuni di tiga rumah dekat Jalan Intan 2, Taman Bukit Sentosa kini berada dalam berjaga-jaga selepas cerun di belakang kediaman mereka runtuh, susulan hujan lebat, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, rumah di lot terakhir paling terkesan dan berisiko kerana berada dekat dengan lokasi runtuhan yang menyebabkan pasir, pokok serta batu menggelongsor dan terkena kediaman.

Penduduk memaklumkan kejadian itu menyebabkan sebuah kereta yang diletakkan di bahagian tepi rumah mengalami kerosakan.

Jiran mangsa, Chin Fook Khim, 22, berkata, ketika kejadian dia belum tidur dan sedang makan di rumahnya sebelum terdengar bunyi kuat lalu mengejutkan bapanya dan bergegas keluar.

"Saya terus ke rumah jiran yang terkena runtuhan memandangkan kedua-dua penghuni, pasangan suami isteri adalah warga emas yang berusia dalam lingkungan 60-an itu juga belum tidur atau mungkin terjaga akibat kejadian ini.

"Mereka bernasib baik kerana runtuhan tidak merosakkan struktur rumah dan mereka dalam keadaan selamat. Namun, satu daripada dua kereta yang diletakkan di tepi rumah mengalami kerosakan," katanya ketika ditemui, di sini.

Chin berkata, ini bukan kejadian pertama tanah runtuh berlaku di cerun bahagian belakang rumah mereka kerana sebelum ini sudah tiga kali kejadian sama berlaku.

"Dalam kejadian pada September lalu, tanah runtuh betul-betul di belakang rumah saya, namun ia tidak teruk. Bagaimanapun kami semua bimbang kejadian sama berulang kerana tanah tidak stabil.

"Tiga rumah yang paling kiri ini memang berisiko kerana cerun betul-betul di belakang rumah. Saya minta supaya pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu supaya cerun dapat distabilkan lebih-lebih dalam keadaan cuaca hujan yang tidak menentu ketika ini," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihak mereka segera ke lokasi sebaik menerima panggilan bagi melakukan operasi menyelamat dan memantau keadaan.

"Tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian ini dan pihak kami melakukan kerja pembersihan di lokasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 3:34 PM