Muhammad Yusri Muzamir


MIMPI buruk bertukar realiti, itulah luahan seorang daripada anak Allahyarhamah Faridah Mat Hashim.

Mangsa maut dipercayai dibunuh anak bongsunya, sebelum jenazahnya diletakkan di dalam tangki najis di belakang rumah mereka di Jalan Sungai Burung, Balik Pulau, semalam.

Anak sulung mangsa, Muhammad Fauzi Ismail, 41, berkata, dia ada bermimpi terjumpa mayat dalam lubang berhampiran rumahnya, ketika malam insiden pembunuhan ibunya yang dikatakan berlaku pada 19 September lalu sebelum jenazah mangsa ditemui petang semalam.

“Saya tak sangka rupanya mimpi ini adalah petunjuk bagi kes kehilangan ibu selama seminggu. Selepas bermimpi, saya ada mencari di dua perigi buta dan tangki najis di sekitar rumah, tetapi tidak membuahkan hasil.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga sekali lagi mencari ibu di tangki najis, petang semalam, dan menemui pakaian terakhir dipakai oleh arwah, selain terlihat tangan ibu terapung di dalam tangki terbabit,” katanya ketika ditemui NSTP di Masjid Sungai Burong di sini, hari ini.

Misteri kehilangan Faridah, 64, sejak Rabu lalu, terjawab selepas mayatnya ditemui di dalam tangki najis belakang rumahnya di Sungai Burung di sini, petang semalam.

Mayat mangsa yang tenggelam di dalam tangki sedalam 1.2 meter itu ditemui menantunya kira-kira 2 petang semalam, sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Berita berkaitan

'Bunuh, humban ibu dalam tangki najis' [METROTV]

[UPDATE] Suspek bunuh ibu ditangkap

[UPDATE] Tusuk pisau ke leher ibu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 5:04 PM