MOHAMMAD Firdaus (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini bagi sebutan semula kes penemuan mayat ibunya dalam tangki najis di belakang rumah mereka di Kampung Sungai Burung, Balik Pulau, September lalu. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
MOHAMMAD Firdaus (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini bagi sebutan semula kes penemuan mayat ibunya dalam tangki najis di belakang rumah mereka di Kampung Sungai Burung, Balik Pulau, September lalu. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Audrey Dermawan


MAHKAMAH Majistret Balik Pulau, hari ini menetapkan 18 Disember depan untuk sebutan semula kes seorang lelaki yang membunuh ibunya dan membuang mayat wanita terbabit dalam tangki najis, September lalu.

Majistret Nur Azzuin Abdul Moati menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid memberitahu mahkamah mereka masih menunggu laporan bedah siasat.

“Kami mempunyai semua laporan lain yang berkaitan dengan kes ini kecuali laporan bedah siasat.

“Sebaik sahaja laporan bedah siasat itu diperoleh, kami akan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan ,” katanya.

Terdahulu, tertuduh Mohammad Firdaus Ismail, 29, yang dikenali sebagai ‘Bro Cik’ dilihat tiba di mahkamah 8.55 pagi.

Dia berbaju ungu dan berseluar jean menutup wajahnya dengan kain putih.

Beberapa ahli keluarganya dilihat turut berada di mahkamah.

Pada 4 Oktober lalu, Firdaus didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh ibunya Faridah Mat Hashim, 63, di rumah mereka di Sungai Burung, Balik Pulau antara 6.30 pagi dan 8 malam pada 19 September.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Difahamkan, Faridah, yang hilang dari rumah sejak 19 September, ditemui mati di dalam tangki najis di belakang rumahnya di Kampung Sungai Burung, 23 September lalu.

Siasatan mendapati mangsa dipercayai dibunuh anak lelakinya yang kemudian melarikan diri.

Suspek bagaimanapun berjaya ditahan pada 25 September lalu di hadapan pejabat Kesihatan daerah di Jalan Air Putih, Balik Pulau dan mengaku membunuh ibunya.

Polis mengesahkan suspek tidak mempunyai sejarah penyakit mental.

Pemeriksaan lanjut mendapati suspek ketagihan menghidu petrol hingga menyebabkan dia berhalusinasi.

Berita berkaitan

Bukan gila, 'stone' petrol ja...

'Suspek bunuh ibu, buang ke tangki najis direman [METROTV]'

'[UPDATE] Tusuk pisau ke leher ibu'

'Bunuh, humban ibu dalam tangki najis' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 8:59 PM