Muhammad Yusri Muzamir


SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini atas tuduhan membunuh ibu kandungnya Allahyarham Faridah Mat Hashim, tiga minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas tertuduh Mohammad Firdaus Ismail, 29, yang lebih dikenali sebagai ‘Bro Cik’ di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Faridah, 63, di rumah di Lot 191 Mukim D, Sungai Burung, Balik Pulau antara jam 6.30 pagi hingga 8 malam, pada 19 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Nur Fadrina kemudian menetapkan 8 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, selain tidak dibenarkan ikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam Edmund Anthony Hermon dari Yayasan Biro Bantuan Guaman.

Terdahulu, Edmund memohon kepada mahkamah untuk membenarkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital selepas ternampak tompokan kecil darah di bahagian mata kirinya.

Sebelum ini, polis mengesahkan suspek tidak mengalami masalah mental berikutan namanya tidak didaftarkan di mana-mana pusat psikiatri atau hospital mental.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superitendan A A Anbalagan dilapor berkata, Mohammad Firdaus hanya positif ketagihan petrol yang menyebabkan dia berkhayal dan berhalusinasi.

Beliau dilapor berkata, Mohammad Firdaus menusuk pisau pemotong sayur pada bahagian leher dan mengelar leher ibunya selepas kedua-dua mereka bertengkar sebelum meletakkan mayat Faridah di dalam tangki najis.

Mayat Faridah kemudian ditemui pada 24 September lalu, selepas mangsa dilaporkan hilang hampir seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 11:45 AM