Ibrahim Isa


PENDUDUK sekitar Sungai Rengit, Pengerang dekat Kota Tinggi, gempar apabila tiga fenomena belalai air berlaku di perairan kawasan itu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, pekerja tapak projek pembinaan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang dan penduduk bandar itu dapat melihat dengan jelas tiga belalai air yang juga dikenali sebagai puting beliung kecil terbentuk di laut.

Dalam satu video berdurasi 37 saat yang dimuat naik di Facebook (FB), perakam video berkenaan merakam kejadian sambil menjerit: "Puting beliung ooo... puting beliung... satu, dua, tiga baru nak jadi oooo hai..

"Puting beliung Sungai Rengit tiga biji... air bawah sudah nak pusing ...," katanya dalam video yang dikongsi beberapa laman FB lain.

Video itu dipercayai dirakam dari tapak pembinaan Rapid berdasarkan lokasi dan peralatan pembinaan.

Selain rakaman belalai air itu, satu rakaman video memaparkan belalai air di sebalik bukit namun tidak dapat dipastikan sama ada ia berterusan ke darat atau tidak.

Pada masa sama, beberapa laman FB memaparkan rakaman video kejadian yang dirakam di pekan Sungai Rengit dan kedai makan di kawasan berhampiran.

Netizen yang menonton rakaman video itu bagaimanapun bersyukur belalai air berkenaan hilang di atas laut dan tidak berterusan hingga ke darat.

Kejadian itu membimbangkan penduduk berikutan Taufan Jebi, Jepun pada 4 September, Taufan Florance, Amerika Syarikat, 13 September dan Taufan Mangkhut, Filipina serta Hong Kong pada 14 September lalu yang mengorbankan hampir 100 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 8:40 PM
PENDUDUK Sungai Rengit gempar apabila tiga belalai air berlaku di perairan kawasan itu. FOTO Ihsan Fb Suara Warga Rapid Pengerang
PENDUDUK Sungai Rengit gempar apabila tiga belalai air berlaku di perairan kawasan itu. FOTO Ihsan Fb Suara Warga Rapid Pengerang