Hanneeyzah Bariah Baharin


VIDEO kanak-kanak lelaki dipercayai diculik dan didera yang tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp sejak kelmarin, tidak berlaku di Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid mengesahkan gambar dan video terbabit juga tiada kaitan dengan satu laporan yang dibuat seorang lelaki, 20 Ogos lalu.

Katanya, lelaki itu membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, Kuala Terengganu, bahawa isterinya membawa lari tiga anak mereka.

“Polis Terengganu menafikan dakwaan bahawa video penculikan kejam kanak-kanak dan tular di laman sosial serta aplikasi WhatsApp sejak kelmarin, kononnya berlaku di negeri ini.

“Apa yang dipaparkan dalam video itu bukan berlaku di sini dan ia disebarkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga mendatangkan kemarahan dan kebimbangan masyarakat negeri ini.

“Saya difahamkan video memaparkan wajah seorang lelaki menggunakan dialek Indonesia, bertindak kejam terhadap seorang kanak-kanak lelaki kononnya yang diculik di Terengganu, sedangkan ia tidak benar,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai berita palsu dan viral di laman sosial, mahupun berkongsi berita yang tiada kesahihannya.

Kelmarin, tular mengenai rakaman perbuatan kejam seorang lelaki menggunakan dialek Indonesia, memaksa seorang kanak-kanak lelaki menyebut perkataan ‘mati mama’.

Video berdurasi satu minit dan tujuh saat itu memaparkan tindakan melampau lelaki berkenaan memukul kepala dan mencekik leher kanak-kanak malang itu yang menangis ketakutan.

Malah, pengguna laman sosial turut mengaitkan video itu dengan kes tiga kanak-kanak yang dilapor dilarikan ibu mereka di Balai Polis Chabang Tiga, 20 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 7:27 PM
PETIKAN video kanak-kanak lelaki yang tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp. Polis mengesahkan ia tidak berlaku di Terengganu.
PETIKAN video kanak-kanak lelaki yang tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp. Polis mengesahkan ia tidak berlaku di Terengganu.