Laporan polis yang tersebar sebelum keluarga kanak-kanak itu membuat satu lagi laporan polis untuk menarik balik laporan awal.
Laporan polis yang tersebar sebelum keluarga kanak-kanak itu membuat satu lagi laporan polis untuk menarik balik laporan awal.
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Polis Terengganu menafikan dakwaan mengenai kejadiaan cubaan culik berlaku membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di Wakaf Mempelam di sini, yang tular di media sosial hari ni.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, siasatan segera dijalankan pihaknya sejurus menerima laporan daripada ibu kanak-kanak terbabit di Balai Polis Chabang Tiga semalam.

Menurutnya, ibu kanak-kanak berkenaan mendakwa dia dimaklumkan oleh anaknya bahawa nyaris diculik pada 2.10 petang semalam ketika dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Mempelam.

Katanya, siasatan yang dijalankan kemudiannya mendapati dakwaan itu tidak benar dan kejadian terbabit adalah rekaan kanak-kanak berkenaan bagi menutup cerita dia ditangkap kerana mencuri wang masjid.

"Lanjutan pengakuan sebenar daripada kanak-kanak itu, keluarganya kemudiannya membuat satu lagi laporan polis untuk menarik balik laporan awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 8:17 PM