PAPARAN dari video yang tular. FOTO Muhamad Zuhairi Zuber
PAPARAN dari video yang tular. FOTO Muhamad Zuhairi Zuber
Noor Atiqah Sulaiman


KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sudah menarik permit mengajar dua guru wanita yang dipercayai terbabit dalam kejadian mendera murid di sebuah tadika swasta di Ayer Keroh, Melaka yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, penarikan permit itu bagi memastikan guru wanita terbabit tidak dapat bertugas di tadika berkenaan, selain tiada sebarang interaksi dengan murid.

“Pengusaha tadika turut diberi amaran keras berkaitan kecuaian dalam operasi mengendalikan kanak kanak dalam kohort empat dan lima tahun ke atas.

“Kementerian turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka untuk memantau pengurusan dan pengoperasian tadika ketika sesi pembelajaran berlangsung.

“(Disebabkan) kes ini sudah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), kementerian menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut ke atas guru terbabit,” katanya.

Sebelum ini, perbuatan dua guru berkenaan yang mengasari kanak-kanak di bawah jagaan mereka di sebuah tadika di Ayer Keroh, terbongkar selepas dua video tular di media sosial.

Video pertama yang tular di laman sosial berdurasi dua minit 10 saat, menunjukkan seorang guru mengangkat kanak-kanak perempuan di pusat itu dan meletakkannya di atas badan seorang kanak-kanak lelaki yang sedang terbaring.

Video kedua yang berdurasi 36 saat pula, menunjukkan seorang daripada guru terbabit menampar seorang kanak-kanak lelaki hingga terjatuh dari kerusi.

Dua guru terbabit kini ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita berkaitan:

Pengajar diberhentikan serta-merta

Polis siasat pengajar kasari kanak-kanak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 3:30 PM