Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


VIDEO seorang lelaki dirakam sedang memukul dan memarahi seorang kanak-kanak lelaki dipercayai penghuni sebuah rumah kebajikan kanak-kanak di Taiping, kini tular di laman sosial.

Video berdurasi dua minit 10 saat itu memaparkan tindakan lelaki terbabit memukul seorang kanak-kanak lelaki kerana dikatakan melekatkan sisa gula getah di keretanya.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah kebajikan dan satu laporan mengenai penularan video berkenaan diterima polis, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, seorang pengguna laman sosial Facebook mendakwa melihat video berkenaan di laman sosialnya kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Menurutnya, video dikongsi seorang pengguna lain itu menunjukkan seorang kanak-kanak sedang dipukul.

“Berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah kebajikan kanak-kanak di bandar ini dan mangsa juga adalah penghuni rumah berkenaan.

“Video menunjukkan seorang suspek memukul mangsa menggunakan tangan beberapa kali di belakang leher kerana mangsa dipercayai melekatkan gula getah di kereta suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti lelaki dalam video berkenaan dan akan memanggilnya untuk memberi keterangan hari ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja memdatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 3:02 PM