NOR Izati (kanan) bersama Nor Ain Hawani melihat basikal miliknya yang hangus dalam kebakaran membabitkan 12 pintu rumah kongsi pekerja kilang papan di Kawasan Industri Gua Musang, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim.
NOR Izati (kanan) bersama Nor Ain Hawani melihat basikal miliknya yang hangus dalam kebakaran membabitkan 12 pintu rumah kongsi pekerja kilang papan di Kawasan Industri Gua Musang, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


SEORANG kakak bertarung nyawa meredah api menyelamatkan adiknya yang sedang tidur di dalam bilik rumah kongsinya di kilang papan di Kawasan Industri Gua Musang, hari ini.

Bagi Nor Izati Baharil, 14, ketika itu yang penting adalah nyawa adik bongsunya, Nor Ain Hawani, 5, yang sedang tidur dan tindakan itu ternyata tepat.

Hanya lima minit selepas dia menyelamatkan adiknya keluar dari rumah itu, kediamannya hangus terbakar dalam kejadian 8.30 pagi itu.

Ketika ditemui di tempat kejadian, Nor Izati berkata, semasa kejadian dia berada di rumah bersama dua adiknya.

Katanya, bapanya, Baharin Mokhtar, 45, pergi ke stesen bas di bandar Gua Musang menghantar emak menaiki bas ke Kota Bharu.

“Saya terkejut apabila melihat api dari rumah jiran marak dan merebak ke rumah kami dan segera menyuruh adik lelaki, Mohd Aidil Idham yang berusia 11 tahun, keluar menyelamatkan diri.

“Saya segera masuk ke dalam bilik bagi menyelamatkan Nor Ain Hawani yang sedang tidur dan meredah api ketika berlari keluar rumah.

“Ketika itu, saya hampir lemas menghidu asap tebal dan api sedang marak, tetapi terpaksa kuatkan semangat berdepan risiko dan bersyukur kami semua selamat,” katanya.

Berikutan kejadian itu, 12 pintu rumah kongsi pekerja kilang papan terbabit hangus sama sekali.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Anuar Abas, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.58 pagi.

Beliau berkata, 15 anggota dan tiga jentera bergegas ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran dalam masa 30 minit.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 6:27 PM