Rohani bersama anaknya yang cedera disambar api ketika rumahnya terbakar menerima rawatan di HGM. PIX FOTO RAMLI IBRAHIM
Rohani bersama anaknya yang cedera disambar api ketika rumahnya terbakar menerima rawatan di HGM. PIX FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Seorang ibu mencampak tiga anaknya dari tingkap berketinggian hampir dua meter, sebelum dia terjun menerusi ruang sama untuk menyelamatkan diri selepas rumah mereka di Kampung Chegar Bongar, Batu Lima di sini, terbakar.

Kejadian pada 1.30 petang hari ini, menyebabkan Rohani Awang, 25, melecur di bahu kanan akibat disambar api.

Anaknya, Mohd Shaqik Haika Azmi, 3, patah lengan kiri, manakala dua lagi anak iaitu Wan Syed Ali, 7, dan Shuhada, 2, tidak cedera.

Rohani dan Mohd Shaqik Haika dirawat di Hospital Gua Musang (HGM) dan stabil.

Ketika ditemui, wanita itu berkata, kebakaran bermula di ruang tamu rumah dan merebak cepat ke seluruh binaan kayu kediaman itu.

Katanya, ketika itu dia berada di dalam bilik tidur bersama anaknya dan terpaksa terjun dari tingkap selepas melihat ruang tamu dan pintu depan terbakar.

"Saya tawakal sahaja kepada Allah dan mencampak anak keluar dulu sebelum saya terjun sama. Saya terpaksa berbuat demikian, tidak mahu apa-apa berlaku kepada anak saya (jika terperangkap dalam kebakaran).

"Itupun api terkena lengan saya ketika mahu terjun," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya Azmi Ab Wahab, 44, tidak ada di rumah kerana keluar bersama ibu, Saadah Deraman, 65.

Katanya, dalam tempoh kurang 15 minit, rumahnya hangus dan tiada barangan yang dapat diselamatkan.

"Alhamdulillah, Allah masih melindungi kami anak beranak," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.51 petang dan sembilan anggota bersama dua jentera ke lokasi.

Katanya, api marak ketika pasukannya tiba dan tindakan segera diambil untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke sebuah lagi rumah kayu berdekatan.

"Api padam sepenuhnya 20 minit kemudian dan seorang wanita melecur di bahu kanan ketika menyelamatkan diri, selain seorang anaknya cedera," katanya yang memberitahu punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 6:56 PM