HASIAH (kanan) bersama anaknya melihat keadaan rumah yang musnah terbakar. FOTO Paya Linda Yahya
HASIAH (kanan) bersama anaknya melihat keadaan rumah yang musnah terbakar. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Sebelas beranak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman diami sejak 38 tahun lalu musnah dalam kebakaran di Felda Chiku 3, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.40 malam itu, mangsa kerugian RM100,000 selepas harta benda termasuk enam motosikal dan sebuah kereta musnah.

Ketika kejadian, Hasiah Saat, 59, yang tinggal bersama tiga anak, dua menantu dan lima cucu sedang menonton televisyen sebelum menyedari api marak dari salah sebuah bilik.

"Tiba-tiba seorang anak menjerit 'lari'. Kami terkejut sebelum menyedari api sudah marak di bilik tidur di tingkat atas rumah.

"Kami terkejut sebelum menyedari api sudah marak membakar bilik tidur di tingkat atas rumah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Anak kedua Hasiah, Nik Suhana Nik Hassan, 38, berkata, mereka sekeluarga sangat sedih apabila rumah yang dihuni sejak 38 tahun lalu musnah dalam kebakaran.

Bagaimanapun, dia juga bersyukur apabila semua ahli keluarganya selamat termasuklah seorang bayinya yang berusia tujuh bulan.

"Kami kini tinggal menumpang di rumah adik beradik lain di kawasan berhampiran buat sementara waktu.

"Kami berharap ada pihak yang sudi membantu memberi kediaman baharu buat kami yang hilang tempat berteduh," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan pada 9.53 malam dan kebakaran dapat dikawal pada pukul 12.35 tengah malam.

Katanya, punca kejadian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 5:35 PM