LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Noraina Raja Rahim dan Khairul Najib Asarulah Khan

“SAYA terkejut bila seorang lelaki mengacukan pistol dan mengarahkan saya diam serta masuk semula ke dalam kedai,” kata Hafsah Mohd Dzahir, 18, yang menyaksikan kejadian rompakan kedai emas di sebuah pasar raya di Senawang, di Seremban, malam tadi.

Hafsah berkata, ketika itu dia bersama dua rakan sedang bekerja di kedai menjual cermin mata sebelum melihat empat lelaki bertopi keledar meluru ke arah kedai emas bersebelahan premisnya, pada jam 8.10 malam.

“Selepas itu, saya dan rakan mendengar orang menjerit lalu keluar untuk melihat apa yang berlaku tetapi seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah kami, manakala penjenayah lain sudah berada di dalam kedai emas.

“Saya menggigil dan menangis kerana takut. Saya hanya duduk bersembunyi di dalam kedai dan tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Hafsah berkata, kejadian berlaku sebaik pemilik kedai emas itu keluar ke tandas dengan meninggalkan adik perempuannya menjaga premis dan penjenayah mengambil masa beberapa minit saja untuk melakukan rompakan.

Dia yang masih trauma dengan kejadian itu percaya semua penjenayah adalah lelaki tempatan berdasarkan suara mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, siasatan mendapati empat suspek bersenjata pistol, sebilah pisau dan kuku kambing merompak kedai emas berkenaan.

Beliau berkata, suspek mengambil barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM367,000 sebelum melarikan diri dengan kenderaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 3:31 PM