MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Rosliza Mohamed

PELAJAR tingkatan dua maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta sebelum mangsa digilis lori di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) dekat Kampung Tikat, Kota Bharu, semalam.

Pada kejadian 4.20 petang itu, mangsa, Nur Wardiah Syahirah Mustafa, 14, yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari arah PCB menghala ke Kota Bharu.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah Perodua Viva yang di letakkan di bahu jalan.

“Akibat pelanggaran itu mangsa terjatuh di tengah jalan dan kemudian digilis sebuah lori yang datang dari arah yang sama.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dilakukan termasuk mengesan lori berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 9:24 AM