Samadi Ahmad


KETIKA berlaku ribut jemaah bergilir-gilir melaungkan azan dan berdoa agar diberi keselamatan daripada ditimpa sebarang kemalangan.

Begitulah detik cemas yang dikongsi seorang jemaah haji, Abdul Hanif Abu Bakar, 54,dari Taman Samudera, Gombak, Selangor yang terbabit dalam ribut pasir ketika wukuf di Padang Arafah.

Abdul Hanif berkata, ketika kejadian khemah yang dipenuhi 300 jemaah bergoyang kuat ditiup angin, namun tidak berlaku sebarang kemalangan dan mereka selamat.

"Kejadian yang berlaku selama satu setengah jam itu amat mendebarkan dan ketika itu hanya berserah pada Allah semoga semua diberikan keselamatan," katanya kepada media selepas tiba di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Dia adalah seorang daripada kumpulan pertama seramai 497 jemaah haji Malaysia yang selamat tiba ke tanah air.

Ketibaan mereka disambut Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Mohd Hisham Harun bersama pengurusan Tabung Haji (TH) serta anggota keluarga.

Kumpulan jemaah itu tiba menerusi penerbangan XY7604 Flynas berlepas dari Jeddah jam 3.46 pagi (9.46 waktu Malaysia) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah dan tiba di KLIA pada 7 malam.

Kejadian ribut pasir yang berlaku 6.30 petang di penempatan jemaah haji yang bersiap sedia untuk wukuf di Padang Arafah itu turut merosakkan khemah hingga menyebabkan bekalan elektrik terganggu di seluruh kawasan perkhemahan jemaah di Arafah.

Bagi Hasmah Maidin, 67, dia bersyukur kerana segala urusan ibadat hajinya berjalan dengan lancar walaupun berdepan dugaan dilanda ribut pasir yang tidak diduga itu.

Menurutnya, ketika kejadian khemah yang dipenuhi kira-kira 290 jemaah wanita itu baru sahaja selesai solat Maghrib, keadaan tiba-tiba menjadi gelap disebabkan bekalan elektrik terputus dan menakutkan.

Katanya, ketika itu semua jemaah berzikir memohon keselamatan dan kejadian di luar jangkaan dan sebagai tetamu Allah kami perlu menerima segala keadaan dengan penuh kesabaran," katanya.

Sementara itu, Mohd Hisham berkata, operasi haji pada tahun ini berjalan lancar secara keseluruhannya dan jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadat haji dengan selamat, lebih selesa dan teratur.

Menurut beliau, 19 jemaah meninggal dunia disebabkan serangan jantung, jangkitan kuman dalam paru-paru, lelah dan radang paru-paru membabitkan sembilan di Makkah dan Madinah sebelum wukuf dan 10 jemaah lagi selepas selesai wukuf.

"Bagi jemaah yang meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan haji, TH juga sudah melaksanakan badal haji untuk mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 9:00 PM
ANTARA 497 jemaah haji Malaysia kumpulan pertama disambut oleh Mohd Hisham. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
ANTARA 497 jemaah haji Malaysia kumpulan pertama disambut oleh Mohd Hisham. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor