LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nor Akmar Samudin

PENGALAMAN mengerjakan haji bersama ibu bapa pasti akan tersemat dalam memori Mohd Zain Misbah, 34, apabila terpaksa berdepan ribut pasir ketika bersiap sedia untuk berwukuf di Arafah.

Angin kencang itu menyebabkan bekalan elektrik terganggu di seluruh kawasan perkhemahan jemaah di Arafah.

Zain antara ribuan jemaah haji dari Malaysia yang terpaksa menempuh kejadian tanpa diduga itu.

“Ribut pasir itu bermula sekitar jam 7 malam dan ketika kami semua sedang bersolat Maghrib, ribut pasir semakin kuat sehingga terputus bekalan elektrik.

“Tabung Haji (TH) mengarahkan semua jemaah berada dalam khemah kerana ribut pasir yang melanda di luar menerbangkan banyak objek seperti tong sampah termasuk zink yang menjadi penghadang di sekeliling tandas.

“Bagaimanapun, tiada khemah jemaah yang terbang atau runtuh. Ribut pasir berserta hujan berhenti sekitar jam 9 malam,” katanya yang dihubungi di Arafah menerusi aplikasi WhatsApp.

Berkongsi perasaannya ketika itu, kata Zain, meskipun situasi ketika itu agak panik kerana kejadian ribut pasir seperti itu jarang berlaku pada musim panas di Makkah, namun keadaan terkawal.

“Alhamdulillah, bapa yang bersolat jemaah dengan saya selamat. Ibu yang bersolat jemaah di khemah wanita juga selamat.

“Selepas selesai solat berjemaah, ribut pasir masih berlaku. Pembimbing TH kemudiannya memberi ceramah serta sokongan moral kepada seluruh jemaah yang berada dalam khemah yang masing-masing dalam keadaan gusar serta bimbang supaya banyak berzikir dan berdoa.

“Pada akhir ceramah, ustaz berkenaan berdoa panjang dan tidak lama kemudian ribut pasir serta hujan pun reda,” katanya.

Zain yang juga Ketua Perawat di Pusat Rawatan Al-Qayyum di Bandar Sri Damansara berkata, hari ini cuaca kembali cerah dan semua jemaah juga sihat.

“Khemah di Arafah sangat kukuh dan tiada berlaku sebarang kerosakan. Doakan kami di sini sihat dan dapat menjalani ibadat haji dengan tenang dan selamat,” katanya.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia mula tiba secara berperingkat untuk berwukuf di Arafah mulai pagi kelmarin, bagi menyertai kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia berhimpun di sana untuk menjalani rukun dalam ibadat haji.

Berita berkaitan

Ribut di Arafah [METROTV]>

Semua jemaah kita selamat>

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 6:30 PM