Nor Fazlina Abdul Rahim


KEMENTERIAN Luar Bandar menafikan pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjejaskan peluang pekerjaan penduduk di negeri pembangkang.

Menterinya, Rina Harun berkata, ini kerana banyak projek yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan, bukannya menerusi ECRL semata-mata.

“Memang kita akui menerusi ECRL akan banyak mewujudkan peluang pekerjaan, namun banyak lagi peluang boleh diperolehi menerusi kaedah lain.

“Kerajaan kini sedang menaik taraf infrastruktur penduduk terutama di luar bandar supaya rakyat mampu menjana pendapatan tanpa perlu berpindah ke kawasan lain.

“Sebagai contoh, memandangkan ramai rakyat sekarang ini berniaga secara dalam talian, jadi kerajaan akan menaik taraf kemudahan internet supaya mereka boleh meneruskan perniagaan itu.

“Kerajaan berusaha sebaik mungkin mewujudkan peluang pekerjaan supaya rakyat yang berada di luar bandar mampu menerima kemudahan sebagaimana rakyat yang tinggal di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kenduri Sekampung anjuran Srikandi Malaysia dan Kelantan di Kampung Geting, Tumpat, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Kamaruddin Mad Noor.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, kerajaan memutuskan membatalkan pelaksanaan ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) buat masa ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengakhiri lawatan lima hari ke China berkata, beliau sudah menyampaikan keputusan itu kepada pemimpin China dan mereka memahami masalah dihadapi Malaysia.

Projek ECRL yang dicadangkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mencetuskan kontroversi berikutan kosnya yang mencecah hingga RM70 bilion.

Laluan sepanjang 688 kilometer (km) itu dijangka menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pantai Timur melalui Kuantan, Pahang dan Pengkalan Kubor di Kelantan.

Berita berkaitan:

ECRL, TSGP dibatalkan, MPK diteruskan

ECRL, TSGP: Runding jalan keluar kos rendah

Rugi henti ECRL - MB Terengganu

Ramai terkesan jika ECRL batal - MB Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 11:15 AM