Bisnes HM

DUNIA korporat dan perniagaan menyaksikan berlakunya perubahan mendadak kepada sesuatu organisasi sepanjang 2018.

Peletakan jawatan, pelantikan baharu dan skandal kewangan antara insiden mewarnai dunia bisnes selain perubahan dasar yang menyebabkan sedikit kacau-bilau dalam pasaran saham.

Tahun ini juga turut menyaksikan perubahan kepimpinan negara yang secara tidak langsung memberi kesan kepada beberapa tampuk pengurusan tertinggi khususnya bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

10 Februari

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan 6.9 peratus kadar dividen untuk Simpanan Konvensional 2017 membabitkan jumlah
agihan sebanyak RM44.15 bilion.

Pemilik akaun Simpanan Syariah yang mula diperkenalkan pada 8 Ogos 2016 pula menerima dividen berkadar 6.4 peratus dengan agihan RM3.98 bilion.

12 Mei

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan yang bertindak menasihati kerajaan mengenai ekonomi dan kewangan ketika proses peralihan kuasa.

Majlis itu diterajui bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bersama ahli lain iaitu bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican, tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

1 Jun

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan dan cuti cukai bermula. Pada 1 September, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikuatkuasakan.


6 Jun

Tan Sri Muhammad Ibrahim menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) selepas dilantik pada 1 Mei 2016 sebagai gabenor kelapan.

21 Jun

Kabinet meneruskan projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) walaupun lebih RM3 bilion dana kerajaan untuk TRX City Sdn Bhd (TRXC) diselewengkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kerajaan bersetuju menyiapkan projek TRX dengan member dana tidak lebih RM2.8 bilion kepada TRXC.


30 Jun

Tan Sri Abdul Wahid Omar bersara sebagai Pengerusi Kumpulan PNB dan Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB). Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Pengerusi PNB baharu.

1 Julai

Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) berkuat kuasa 1 Julai 2018.


12 Julai

Kabinet bersetuju projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) diteruskan dengan kos akhir RM16.63 bilion iaitu 47 peratus lebih rendah berbanding kos asal RM31.65 bilion. Nilai kos akhir itu dapat menjimatkan RM15.02 bilion.


26 Julai

Khazanah Nasional Bhd mengesahkan semua ahli Lembaga Pengarah termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar menawarkan diri meletak jawatan.

Khazanah Nasional memaklumkan tawaran dibuat bagi membantu memudahkan peralihan teratur di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Datuk Shahril Ridza Ridzuan dilantik sebagai Pengarah Urusan yang baharu.

21 Ogos

Kerajaan memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

5 September

Malaysia dan Singapura menandatangani Surat Sampingan Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) bagi persetujuan bersama menangguhkan projek berkenaan selama dua tahun sehingga Mei 2020.

12 September

Khidmat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FGV Holdings Bhd, Datuk Zakaria Arshad sebagai pengarah syarikat itu ditamatkan serta-merta.

23 November

FGV Holdings Bhd (FGV) mengemukakan saman RM514 juta serta ganti rugi lain terhadap bekas Presiden Dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan 13 yang lain berhubung pemerolehan Asia Plantation Ltd (APL) pada 2014.

30 November

Lembaga Tabung Haji (TH) membuat dua laporan polis terhadap bekas Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta pengurusan kanannya.

Pengurusan kanannya ialah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar, Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

10 Disember

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, ketika sidang media di Parlimen memaklumkan Tabung Haji (TH) menanggung liabiliti RM74.4 bilion berbanding nilai aset keseluruhan RM70.3 bilion, sekali gus menunjukkan defisit sebanyak RM4.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Pemberian hibah (bonus) kepada pendeposit oleh TH sejak 2014 pula dilapor bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995, sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit.

12 Disember

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton Holdings Bhd (PROTON) yang dikenali sebagai Proton X70. Proton X70 adalah model pertama yang dihasilkan secara bersama oleh PROTON dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) serta menjadi SUV premium pertama dikeluarkan oleh jenama automotif Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 9:58 AM