KUANTAN 18 JULY 2017. Papantanda projek ECRL Stesen Kotasas di Taman Kotasas. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
KUANTAN 18 JULY 2017. Papantanda projek ECRL Stesen Kotasas di Taman Kotasas. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
T.N.Alagesh

KERAJAAN Persekutuan diminta dapat mempertimbangkan semula keputusan membatalkan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembatalan projek itu juga turut merugikan ketiga-tiga negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana kerja-kerja awal pelaksanaannya sudah pun bermula.

Beliau berkata, keputusan kerajaan pusat itu juga menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan.

"Di Pahang sahaja, kemajuan projek pembinaan yang dicapai ialah antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Malah, tapak pembinaan seperti Genting Sempah dan Bentong, kerja-kerja pengorekan terowong bagi laluan bawah tanah ECRL sudah pun bermula.

"Malah, kerja-kerja untuk pengambilalihan tanah berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah milik persendirian yang perlu diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membatalkan pelaksanaan ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) ketika melakukan lawatan kerja di Beijing, kelmarin.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah menyampaikan keputusan itu kepada pemimpin China dan mereka memahami masalah dihadapi Malaysia.

Berikutan pembatalan projek ECRL yang sepatutnya siap tahun 2024, Dr Mahathir berkata, rundingan akan dilakukan pada peringkat pegawai untuk mencari jalan keluar daripada projek berkenaan pada kos paling rendah.

Wan Rosdy berkata, mengikut rekod, seluas 1,394.4 hektar tanah membabitkan 1,545 lot tanah menerusi jajaran sepanjang 232.5 KM merentasi daerah Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan terbabit dengan projek ECRL ini.

Daripada jumlah keluasan tanah itu, beliau berkata kira-kira 385 hektar atau 27.6 peratus ialah tanah kerajaan, manakala yang lain ialah tanah milik persendirian, tanahrizab Melayu dan Hutan Simpan Kekal.

"Justeru, saya merayu bagi pihak kerajaan negeri serta mereka yang terkesan teruk dengan pembatalan ini khususnya pekerja yang bakal diberhentikan, supaya kerajaan pusat mempertimbangkan semula keputusan tersebut," katanya.

Berita berkaitan:

ECRL, TSGP dibatalkan, MPK diteruskan

ECRL, TSGP: Runding jalan keluar kos rendah

Rugi henti ECRL - MB Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 10:01 AM