FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LEBIH sejuta kenderaan dijangka keluar dari ibu negara bermula malam ini berikutan cuti sempena sambutan Aidiladha esok.

Penolong Pengarah Bahagian Pemantauan Operasi, Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Mohd Salmi Yahya berkata, sehingga petang ini keadaan lalu lintas di beberapa lebuhraya utama masih lancar.

“Faktor ini berkemungkinan disebabkan cuti persekolahan sudah bermula awal dan hari perayaan jatuh pada pertengahan minggu.

“Namun kita menjangkakan lebih sejuta kenderaan mula keluar daripada ibu kota pada malam ini,” katanya ketika ditemui, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Salmi berkata, terdapat beberapa lokasi dijangka bergerak perlahan bermula malam ini antaranya Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak berhampiran Bukit Tinggi, Slim River - Sungkai, Bidor- Tapah dan Terowong Menora ke Kuala Kangsar.

“Setakat ini, hanya terdapat kemalangan kecil dan biasa berlaku di lebuh raya dan tidak membabitkan kesesakan lalu lintas.

“Orang ramai diminta merancang perjalanan terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung halaman,” katanya.

Katanya, pengguna jalan raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol di 1800-88-7752 dan laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik dan Plusline 1800-88-0000, laman Twitter di www.twittercom/plustrafik.

“Pengguna jalan raya diminta untuk mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan selain memeriksa keadaan kenderaan dalam keadaan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 5:13 PM