KUALA LUMPUR:  Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan berjalan lancar sehingga 9 pagi ini walaupun kenderaan bertambah apabila warga kota mula kembali ke ibu kota selepas cuti Aidilfitri.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Expressways Bhd berkata, keadaan di kedua-dua arah utara dan selatan adalah terkawal.

"Terdapat satu kemalangan kecil berlaku di KM 222.7 arah selatan dari Pedas Linggi ke Simpang Ampat tetapi tiada penutupan lorang dan trafik bergerak lancar dari kedua arah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, aliran di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT) turut dilapor bergerak lancar.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran di LPT 2 di kedua-dua arah juga bergerak lancar tanpa sebarang gangguan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 10:14 AM