TERTUDUH Mohd Firdaus Azahar, 29, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan kipas angin terhadap isterinya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
TERTUDUH Mohd Firdaus Azahar, 29, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan kipas angin terhadap isterinya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


TINDAKAN suami mencederakan isteri menggunakan kipas angin kira-kira empat bulan lalu mengundang padah apabila dia bakal berdepan hukuman penjara apabila didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Tertuduh, Mohd Firdaus Azahar, 29, dari Bukit Katil, di sini, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa, di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan isterinya, Siti Norsafikaizati Nordin, 26, cedera dengan menggunakan kipas angin, 12.30 tengah malam pada 25 April lalui di sebuah rumah di Taman Desa Duyong, di sini.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326(a) kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria bagaimanapun memohon satu tarikh bagi menyediakan fakta kes serta untuk jatuh hukum dan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dibenar jaminan rendah kerana menanggung empat orang termasuk anaknya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Analia menawarkan tertuduh jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, malah tertuduh dilarang mendekati pengadu iaitu isterinya atau berdepan perintah penarikan semula jaminan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 4:31 PM