Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seramai 16 penghuni Pusat Pemulihan Tiang Dua, di sini, dijatuhi hukuman sebulan hingga lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi, atas kesalahan positif dadah dan membuat tanda atau tatu di badan sendiri ketika berada dalam pusat pemulihan itu, Ogos lalu.

Semua tertuduh berusia 23 hingga 44 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Bagi pertuduhan membabitkan positif dadah, Muhammad Iskandar Zakaria, 24, Mohd Rahid Abu Bakar, 30, dan Mohd Nazri Abdollah, 44, didakwa sebagai penghuni pusat pemulihan telah memasukkan dadah jenis Morfin dalam badan pada jam kira-kira 9 pagi, 10 Ogos lalu, di Pusat Pemulihan Tiang Dua, di sini, sekali gus melanggar Ikrar Akujanji Penghuni.

usteru, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Kaedah 68(mm) Kaedah-Kaedah Pusat Pemulihan Dadah 1983 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 20(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatandan Pemuliha) 1983, yang sabit kesalahan boleh dipenda atau penjara hingga tiga tahun.

Sementara itu, Muhammad Iskandar bersama-sama 13 lagi yang dituduh bersama, didakwa membuat tanda di badan sendiri iaitu tatoo di bahagian lengan, dada dan kaki pada jam kira-kira 9.30 pagi, 15 Ogos lalu ketika berada di Pusat Pemulihan Tiang Dua, di sini, sekali gus melanggar Ikrar Akujanji Penghuni.

Mereka didakwa mengikut kaedah dan akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Nurjanah Nurdin dan Mohd Radi Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Analia kemudian memerintahkan tertuduh Muhammad Iskandar membayar denda RM2,000 bagi kesalahan pisitif dadah dan RM2,500 bagi kesalahan membuat tatoo, selepas tertuduh memohon hukuman berbentuk denda.

Manakala 15 lagi tertuduh dijatuhi hukuman penjara sebulan hingga lapan bulan penjara, dan hukuman penjara bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 2:32 PM
Seramai 16 Penghuni Pusat Pemulihan Tiang Dua dijatuhi hukuman kerana kesalahan positif dadah dan membuat tanda atau tatu di badan sendiri di Mahkamah Mejistrit, Ayer Keroh. FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Seramai 16 Penghuni Pusat Pemulihan Tiang Dua dijatuhi hukuman kerana kesalahan positif dadah dan membuat tanda atau tatu di badan sendiri di Mahkamah Mejistrit, Ayer Keroh. FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER