PATI yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh.
PATI yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Tangisan seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika merayu hukuman terhadapnya diringankan mendapat belas kasihan Majistret Analia Kamaruddin apabila memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan saja.

Ketika merayu, tertuduh, Rahman Saeni, 21, dari Sulawesi Barat, Indonesia yang mengalirkan air mata memberikan alasan isterinya kini berada di hospital selepas melahirkan anak sulung mereka menerusi pembedahan.

“Saya baru dapat panggilan telefon dari Indonesia mengatakan isteri bersalin menerusi ‘caesarean’ (pembedahan), tiada orang mahu jaga dia. Ibu mentua saya pula sudah tidak bersuami dan mengalami kesukaran untuk berjalan.

“Minta hukuman diringankan kerana saya juga perlu mencari wang untuk menanggung perbelanjaan caesarean, selain bekalan susu anak. Saya mempunyai lima lagi tanggungan puan,” katanya.

Terdahulu, tertuduh bersama sembilan lagi rakan senegaranya berusia 20 hingga 32 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan memiliki MyKad palsu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Merdeka Jaya, Hang Tuah Jaya, ketika pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka melakukan pemeriksaan jam 12.40 tengah malam, 19 November lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan kepada sembilan tertuduh terbabit manakala Rahman pula dipenjara empat bulan selepas rayuannya dipertimbangkan.

Sementara itu, seorang lagi PATI, Amran Salleh, 46, berasal dari Batam, Indonesia, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM4,000 atau dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Analia menjatuhkan hukuman itu ke atas Amran selepas dia mengaku bersalah memiliki MyKad palsu atas nama Abd Rahim Abd Manaf di Batu 9 Kampung Tambak Paya, jam 2.30 pagi, 19 November lalu.

Atas kesalahan itu, Amran didakwa mengikut peraturan dan akta sama dengan 10 lagi rakan senegaranya.

Ketika merayu, Amran berkata, dia mempunyai seorang isteri warga tempatan dan dua anak dengan seorang daripada mereka kini bersekolah di Kelantan kerana dijaga ibu mentuanya.

Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Nasrom Yusof memohon Mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Bagaimanapun selepas mendengar rayuan, Analia memerintahkan Amran dipenjara tiga bulan dan membayar denda RM4,000 atau berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:13 AM