Penguat kuasa JPN mengiringi PATI yang didakwa atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu. FOTO Rasul Azli Samad
Penguat kuasa JPN mengiringi PATI yang didakwa atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) dijatuhi hukuman penjara tiga hingga lima bulan oleh Mahkamah Majistret , di sini, atas kesalahan memiliki MyKad palsu, Sabtu lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Analia Kamaruddin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh berasal dari Indonesia didakwa memiliki MyKad palsu sekitar jam 12.40 hingga 2.30 pagi di dua lokasi iaitu Taman Merdeka Jaya dan Kampung Tambak Paya, di sini, 19 November lalu.

Justeru, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2009), yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-dua sekali.

Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara JPN) negeri Mohd Nasrom Yusof memohon semua tertuduh dijatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua PATI di luar sana supaya tidak memiliki MyKad palsu.

Namun selepas mendengar rayuan semua tertuduh, Analia memerintahkan sembilan tertuduh berusia 20 hingga 33 tahun dipenjara lima bulan.

Manakala seorang tertuduh Rahman Saeni, 31, dipenjara empat bulan selepas merayu dikenakan hukuman ringan berikutan isterinya di Sulawesi baru menjalani pembedahan melahirkan bayi.

Sementara Amran Salleh, 46, merayu dikenakan hukuman ringan kerana menanggung seorang isteri warga tempatan dan dua anak yang bersekolah, diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan dan membayar denda RM4,000, jika gagal bayar boleh dipenjara tiga bulan.

Analia berkata, semua hukuman bermula dari tarikh ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 4:23 PM