SEBAHAGIAN NGO PULZE bersama  peserta OKU yang menyertai bengkel e-usahawan.
SEBAHAGIAN NGO PULZE bersama peserta OKU yang menyertai bengkel e-usahawan.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Beri peluang orang kurang upaya (OKU) untuk berjaya.

Itu antara matlamat sekumpulan anak muda yang bergiat aktif menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sukarelawan Penggerak Sosial (PULZE) dalam membantu golongan berkenaan mendapatkan pekerjaan dan menjadi usahawan berjaya.

Malah, rata-rata ahlinya yang juga mahasiswa universiti awam kini membantu lebih 200 OKU memulakan hidup baru dengan lebih berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Pengarah Program PULZE, Azman Samer berkata, pihaknya mahu memastikan OKU mampu mendapatkan pekerjaan yang sesuai selain membantu merealisasikan impian mereka bergelar usahawan walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Katanya, pihaknya giat menjalankan pelbagai aktiviti dan bengkel khusus kepada OKU untuk mencari pekerjaan menerusi kerjasama dengan NGO lain supaya mereka tidak lagi bergantung kepada ihsan orang ramai bagi meneruskan kehidupan.

“Kami juga mengadakan bengkel e-keusahawanan untuk OKU yang dibimbing usahawan berpengalaman dan turut menerangkan kepada mereka cabang perniagaan yang boleh diceburi serta memberikan keuntungan.

“Mereka memerlukan sokongan dan dorongan daripada orang ramai untuk berjaya, seterusnya mengikis stigma OKU tidak mampu bekerja atau berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini Pulze mempunyai 18 ahli yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu dan mereka bergiat aktif melaksanakan pelbagai aktiviti dan kelas untuk golongan OKU.

“PULZE ditubuhkan pada September tahun lalu dengan bermatlamat menjadi pemudah bicara kepada OKU mencari pekerjaan dan menjadi usahawan berjaya.

“Kami tidaklah menyediakan dana kepada OKU namun pengetahuan dan pengalaman yang ada boleh membantu mereka berjaya seperti insan normal,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya akan memperluaskan lagi program dan aktiviti khusus kepada golongan OKU supaya lebih ramai lagi boleh menyertainya, seterusnya mengubah kehidupan masing-masing kepada lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 11:10 AM