Meor Riduwan Meor Ahmad dan Alzahrin Alias


PENGASAS merangkap Pengerusi Eksekutif Kumpulan AliBaba, Jack Ma, mendedahkan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) memberi inspirasi kepadanya untuk membangunkan Kumpulan Alibaba (Alibaba) yang kini menjadi syarikat e-dagang utama dunia.

Menurutnya, ketika membuka syarikat Internet pertama di China pada 1995 beliau tertanya-tanya bagaimana Internet dan teknologi digital dapat memperkasa masyarakat.

Katanya, pada satu hari beliau membaca berita mengenai MSC yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad kira-kira 20 tahun lalu.

“Saya fikir ‘wow’ ini adalah idea yang ‘genius’. Tahun lalu, apabila saya mendapat idea mengenai kerjasama eWTP (Platform Perdagangan Dunia Elektronik) dengan Malaysia, saya teringat ini adalah impian 20 tahun lalu yang perlu dilaksanakan.

“Ia akan menjadi MSC sebenar dalam memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta golongan usahawan muda.

“Saya fikir jika Malaysia boleh melakukan ini, kenapa China tidak boleh, mengapa saya tidak boleh melakukan ini untuk diri saya sendiri? Jadi, Malaysia memberi sumber ilham kepada saya untuk menubuhkan AliBaba,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pejabat serantau pertama Alibaba di Asia Tenggara yang disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Jack Ma berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, sekali gus membolehkan pejabat itu disiapkan dalam masa singkat.

Menurutnya, pejabat itu akan dijadikan pusat latihan setempat bagi melatih seramai mungkin usahawan muda PKS tempatan dalam ekonomi digital.

“Kami mahu membantu perusahaan kecil dan usahawan muda tempatan memperkasa diri dalam meneroka pasaran global serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

“Sehingga kini, Kumpulan AliBaba mencipta 36 juta peluang pekerjaan selain membantu berjuta lagi perusahaan kecil berkembang dengan pesat melalui ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan antara model perniagaan Alibaba dengan model ekonomi tradisional adalah mereka mencari rakan kongsi dan membantu mereka sehingga berjaya.

“Kami percaya apabila mereka berjaya, barulah kami akan berjaya, apabila datang ke Malaysia kami mendapati di negara ini terdapat banyak golongan muda cemerlang lagi berbakat dan akan melakukan apa saja untuk memperkasakan mereka,” katanya.

Berita berkaitan:

Alibaba komited tingkatkan e-ekonomi Malaysia

Alibaba buka pejabat serantau di KL

Jack Ma kagum [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 5:56 PM
MA ketika pelancaran pejabat Alibaba di Kuala Lumpur. FOTO Reuters
MA ketika pelancaran pejabat Alibaba di Kuala Lumpur. FOTO Reuters