REBUTLAH apa saja peluang pekerjaan asalkan mampu membantu meneruskan kehidupan selepas tamat pengajian. - Gambar hiasan
REBUTLAH apa saja peluang pekerjaan asalkan mampu membantu meneruskan kehidupan selepas tamat pengajian. - Gambar hiasan
 JIKA dulu, peluang pekerjaan terbentang luas untuk bakal graduan, kini golongan itu berdepan risiko menjadi penganggur. - Gambar hiasan
JIKA dulu, peluang pekerjaan terbentang luas untuk bakal graduan, kini golongan itu berdepan risiko menjadi penganggur. - Gambar hiasan
BIARPUN ada peluang kerja, majikan bersikap selektif dengan memilih hanya yang terbaik. - Gambar hiasan
BIARPUN ada peluang kerja, majikan bersikap selektif dengan memilih hanya yang terbaik. - Gambar hiasan
BERI peluang siswa menceburi pelbagai karnival yang diadakan bagi memupuk minat mereka berniaga. - Gambar hiasan
BERI peluang siswa menceburi pelbagai karnival yang diadakan bagi memupuk minat mereka berniaga. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin


Ketika Kementerian Pengajian Tinggi memperkenalkan modul keusahawanan di institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun 2007, antara harapan disandarkan ialah bagi membantu bakal graduan menceburi bidang perniagaan.

Ia juga sebagai langkah mengelak siswazah terlalu bergantung kepada sektor awam dan swasta bagi mendapatkan pekerjaan, selain usaha melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan generasi muda.

Malangnya, selepas lapan tahun, sasaran untuk mengelak pergantungan siswazah pada sektor kerajaan dan swasta belum berhasil sepenuhnya.

Laporan media massa baru-baru ini menganggarkan hampir 200,000 graduan gagal memperoleh pekerjaan angka yang membimbangkan, sekali gus mungkin memberi impak lebih besar kepada bakal graduan yang dilahirkan saban tahun.

Ketua Unit Pembangunan Keusahawanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan Profesor Madya Dr Norazlanshah Hazali berkata, bakal graduan kini tiada banyak pilihan untuk menceburi dunia pekerjaan sama ada di sektor swasta atau kerajaan kerana peluang makin mengecil.

Menurutnya, kecelaruan ekonomi yang sedang melanda dunia kini tambah memburukkan keadaan menyebabkan golongan itu perlu mencari alternatif lain untuk meneruskan kehidupan.

“Walaupun isu pengangguran berlaku di seluruh dunia, keadaan ekonomi yang makin tidak stabil boleh memberi kesan kepada bakal graduan.

“Ia sangat memberi kesan kerana golongan itu berdepan persaingan yang sangat sengit akibat peluang pekerjaan yang makin mengecil.

“Bukan semua bertuah memperoleh pekerjaan kerana majikan juga ada mekanisme sendiri untuk memilih pekerja,” katanya.

Dr Norazlanshah berkata, lumrah bagi bakal graduan ingin bekerja sesuai dengan kelayakan mereka selaras bidang yang dipelajari semasa di IPT.

“Hakikatnya, pengeluaran graduan setiap tahun melebihi permintaan di sektor pekerjaan. Ini jarang disedari siswa kerana ada pihak tidak mahu berkongsi fakta itu kerana beberapa isu.

“Lebih memburukkan keadaan sikap sebahagian graduan terlalu memilih pekerjaan. Mereka tidak bersungguh-sungguh bekerja dalam bidang tidak diminati, malah ada yang rela tidak bekerja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata bakal graduan perlu didedahkan dengan kesukaran memperoleh kerjaya dalam bidang dipelajari supaya mereka lebih bersedia sebelum menempuh alam pekerjaan.

Menurutnya, modul keusahawanan yang diperkenalkan perlu dilaksana secara serius supaya dapat mencetuskan minat siswa berjinak-jinak dengan perniagaan sejak di kampus lagi.

“Ini masa terbaik untuk membantu mereka menjadi usahawan kerana pendedahan sudah diberi sejak awal.

“Mereka akan lebih bersedia dan tahu ke mana hala tuju selepas tamat pengajian, sekali gus tidak terlalu bergantung kepada pihak lain,” katanya.

Mulai tahun 2010, Kementerian Pendidikan mengarahkan semua universiti awam menubuhkan pusat pembangunan keusahawan agar dapat membuka minda dan menerapkan nilai keusahawanan dalam kalangan siswa.

Mereka digalak menceburi bidang keusahawanan sejak di tahun satu pengajian lagi agar bersedia dan dapat mengembangkan perniagaan selepas tamat pengajian dan tidak mengharapkan makan gaji.

Mengenai rungutan sesetengah siswa bahawa sukar untuk bergelar usahawan kerana terpaksa berdepan pelbagai cabaran, beliau berkata mereka perlu mencabar diri dan berani mencari alternatif bagi menjana pendapatan.

“Kegawatan ekonomi melanda semua tapi sebagai bakal graduan, mereka lebih beruntung kerana dikategorikan sebagai pandai dan celik teknologi. Ini kelebihan buat mereka.

“Kenapa tak mahu menggunakan kelebihan itu untuk menjana pendapatan melalui perniagaan dalam talian?” katanya.

Dr Norazlanshah berkata, kini berbekalkan telefon pintar dan Internet, semua mampu berniaga dan menjadi usahawan berjaya.

“Kesalahan terbesar mereka ialah suka memberi alasan dan melihat semuanya sukar tanpa mencuba terlebih dulu.

“Ramai beranggapan bidang keusahawanan tidak setanding dengan kerjaya lain sedangkan bidang inilah yang mampu menjana pendapatan tanpa batasan bergantung pada usaha sendiri,” katanya.

Beliau yang juga penyelidik di Kulliyah Sains Bersekutu UIAM Kuantan serta pengasas produk by DrAzlan turut menggunakan kepakarannya untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada siswa menerusi produk penyelidikannya.

“Ini mekanisme yang saya dan institusi lakukan bagi membantu bakal graduan memperoleh pengalaman sebagai usahawan menerusi perniagaan dalam talian.

“Siswa didedahkan dengan selok-belok perniagaan bagi memperoleh pendapatan ketika masih belajar lagi dan boleh meneruskannya selepas tamat pengajian.

“Sekurang-kurangnya mereka tidak bergantung kepada pihak lain untuk menjana pendapatan,” katanya.

Dr Norazlanshah turut menggesa IPT lebih proaktif mencetuskan semangat keusahawanan kepada siswa termasuk menerapkan ilmu keusahawanan dalam silibus pengajian serta memperbanyakkan program itu sama ada melalui kursus mahupun ruang lain untuk mereka belajar berniaga.

“Semangat keusahawanan perlu dipupuk sejak awal, jika tidak jumlah graduan menganggur akan terus bertambah.

“Sesebuah universiti tidak boleh berbangga jika graduan yang dihasilkan cuma mampu menambah statistik pengangguran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 11:14 AM