SEBUAH kereta Mercedes hangus di Lebuhraya Persekutuan, dekat Seksyen 51A, Petaling Jaya. Foto NSTP/EMEL
SEBUAH kereta Mercedes hangus di Lebuhraya Persekutuan, dekat Seksyen 51A, Petaling Jaya. Foto NSTP/EMEL
Hasbi Sidek


PEMILIK Mercedes berputih mata, apabila kereta berkenaan terbakar di Lebuhraya Persekutuan dekat Seksyen 51A, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, pemandunya lelaki berusia lingkungan 40-an memandu seorang diri dari arah ibu kota menghala ke Shah Alam dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya Mohd Hafiz Mat Dali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.40 pagi.

"Tujuh pegawai dan anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati bahagian belakang kenderaan berkenaan sedang terbakar. Pemandunya sudah keluar dari kenderaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, api berjaya dikawal dan padam sepenuhnya beberapa minit kemudian.

"Daripada maklumat yang kami terima, kenderaan berkenaan dipandu seorang lelaki dari arah Kuala Lumpur menghala ke Shah Alam dan sebaik tiba di lokasi, ia terbakar secara tiba-tiba.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor. Bagaimanapun, pihak kami mendapati kebakaran bermula dari bahagian belakang berhampiran but," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 4:16 PM