BOMBA memadamkan kebakaran sebuah kereta Audi R8 di Ara Damansara. FOTO IHSAN BOMBA
BOMBA memadamkan kebakaran sebuah kereta Audi R8 di Ara Damansara. FOTO IHSAN BOMBA
Amirul Aiman Hamsuddin


Petaling Jaya: Dua individu cemas apabila kereta Audi RX8 dinaiki mereka terbakar di Jalan PJU 1A, Ara Damansara, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.10 malam itu, pemandu dan penumpang kereta itu dipercayai dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 8.16 malam.

Beliau berkata, sepasukan 11 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, anggota mendapat kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Audi R8.

"Anggota kemudian membuat pemadaman menggunakan dua aliran dua pancutan air tangki pam jentera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Norazam berkata, kenderaan itu hangus 100 peratus.

Sementara itu, tular di laman sosial mengenai kebakaran itu yang mana anggota bomba bertungkus-lumus memadamkannya.

Video berdurasi dua minit 24 saat terbabit turut memaparkan api marak menjulang membakar kenderaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 2:55 PM