KARAKTER kartun animasi Boboiboy muncul sempena majlis pelancaran promosi program Malaysiaku Merdeka Bersama Boboiboy di Silveritage Galleria Medan Gopeng, Ipoh, hari ini. Gambar kecil, Shafeii. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
KARAKTER kartun animasi Boboiboy muncul sempena majlis pelancaran promosi program Malaysiaku Merdeka Bersama Boboiboy di Silveritage Galleria Medan Gopeng, Ipoh, hari ini. Gambar kecil, Shafeii. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Balqis Jazimah Zahari


PENAMATAN Perjanjian Lesen dengan DreamWorks Animation LLC berkuat kuasa 1 Ogos lalu membuka ruang kepada Movie Animation Park Studios (MAPS) untuk mempromosikan taman tema itu secara lebih agresif.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPS, Shafeii Abdul Gaffor berkata, pihaknya kini mempunyai perancangan untuk memperluaskan dan menambah kawasan taman tema animasi pertama negara itu.

“Sebelum ini, kami tidak dapat membuat promosi secara agresif kerana mempunyai masalah dengan pelesenan DreamWorks, tetapi sekarang kami mempunyai kebebasan untuk bergerak ke hadapan.

“Melalui produk yang ada, kami percaya mampu meningkatkan jumlah pengunjung dan mengikut perancangan awal, kami sememangnya ingin memperluaskan taman tema dan kini boleh memulakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran promosi program Malaysiaku Merdeka Bersama Boboiboy di Silveritage Galleria Medan Gopeng, Ipoh, hari ini.

Shafeii berkata, antara cadangan sedang dipertimbangkan adalah tema tema air dan resort.

“Kami belum buat keputusan lagi...mungkin taman tema air,” katanya.

Beliau berkata, susulan daripada penamatan itu, salah satu zon yang sebelum ini dikenali sebagai Dream Zone akan digantikan dengan nama baharu dengan pembabitan beberapa pihak lain menggantikan zon berkenaan.

Menurutnya, pihak baru itu dijangka membabitkan kemasukan dua syarikat luar negara dan dua lagi pihak tempatan.

“Pengunjung akan dapat menikmati 90 peratus permainan ditawarkan di MAPS dengan pembukaan zon baharu berkenaan bermula pada Sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai program Malaysiaku Merdeka Bersama Boboiboy, Shafeii berkata, pihaknya turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menamakan zon baharu MAPS.

Beliau berkata, bermula 13 hingga 25 Ogos ini, pihaknya menganjurkan pertandingan menamakan zon baharu dan pemenang bakal memperoleh wang tunai RM2,000.

“Sempena pembukaan zon baharu, kami menjangka 10,000 pengunjung akan mengunjungi MAPS," katanya.

Semalam, Perak Corporation Bhd (PCB) dilaporkan mengumumkan anak syarikat 51 peratus milik tidak langsungnya, Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) secara rasmi menamatkan Perjanjian Lesen yang dimeterai dengan DreamWorks Animation LLC untuk penubuhan dan pengoperasian daya tarikan DreamWorks di MAPS, berkuat kuasa 1 Ogos lalu.

Alasan untuk tidak meneruskannya berikutan ATP dan DreamWorks tidak mencapai persetujuan untuk membuka tarikan DreamWorks kepada orang ramai pada 1 Ogos 2018, demikian kata PCB dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

ATP mempunyai pilihan untuk melanjutkan perjanjian lesen itu kepada 30 September ini, tetapi memutuskan untuk tidak melaksanakan pilihan berkenaan bagi mempercepatkan pembukaan MAPS secara keseluruhan selepas mula dibuka pada 26 Jun 2017 tanpa tarikan DreamWorks.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 10:39 PM