ZABER (tengah) bersama Hasnul Zakaria (tiga dari kanan) mempromosi tiket MAPS pada Karnival Sinar Harapan di Parit Buntar pada 3 dan 4 November ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
ZABER (tengah) bersama Hasnul Zakaria (tiga dari kanan) mempromosi tiket MAPS pada Karnival Sinar Harapan di Parit Buntar pada 3 dan 4 November ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TAMAN tema Movie Animation Park Studio (MAPS) menyasarkan lebih 10,000 tiket terjual sepanjang Karnival Sinar Harapan diadakan di Parit Buntar, pada Sabtu dan Ahad ini.

Pengurus Bahagian Pemasaran MAPS, Zaber Nasar, berkata pihaknya menawarkan harga serendah RM45 bagi tiket untuk taman tema itu sempena musim cuti sekolah, hujung tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya menawarkan harga tiket ‘luar biasa’ murah kepada seluruh rakyat Malaysia selepas mengambil kira rungutan ramai pihak yang mempersoalkan harga tiket asal taman tema itu sebagai terlalu mahal.

Malah, katanya, tiket yang dijual ketika karnival berkenaan boleh digunakan pada bila-bila masa sebelum 31 Januari tahun depan.

“Sempena Karnival Sinar Harapan pada 3 dan 4 November ini, MAPS menjangka lebih 10,000 tiket akan terjual dan kami akan turut membawa maskot watak kartun Boboiboy dan Yaya bagi mempromosi dan menarik minat orang ramai khususnya kanak-kanak,” katanya pada sidang media, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong yang juga EXCO kerajaan negeri, Hasnul Zakaria Abdul Munaim.

Zaber berkata, MAPS tidak melantik mana-mana individu atau orang tengah dalam penjualan tiket taman tema itu kerana difahamkan ada individu menawarkan harga tiket tawaran itu pada harga RM50 dan ke atas yang ditular dalam laman sosial.

“Ingin ditegaskan bahawa MAPS tidak melantik mana-mana individu atau ejen dalam penjualan tiket itu dan kami yakin individu berkaitan adalah ‘ulat tiket’ yang mahu mengaut keuntungan dengan cara mudah.

“Orang ramai dinasihatkan agar membeli tiket MAPS secara terus melalui kaunter sah, laman sesawang rasmi atau menerusi karnival disertai pengurusan taman tema itu seperti Karnival Sinar Harapan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 10:42 PM