CHONG (kanan) bersama mangsa pada sidang media mengenai gangguan Ah Long di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
CHONG (kanan) bersama mangsa pada sidang media mengenai gangguan Ah Long di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
Faris Fuad


SURI rumah hidup dalam ketakutan selepas sekumpulan individu menyimbah cat biru dan merah di kediaman ibu bapanya selain menuntut hutang berjumlah RM700,000.

Mangsa, 38, dari Batu Pahat, Johor, berkata tuntutan itu dibuat selepas bekas suaminya, 41, pernah membuat pinjaman dengan along sebagai modal untuk berjudi.

Katanya, salinan kad pengenalannya juga ditaburkan individu terbabit di sekitar kediaman ibu bapanya di Jalan Parit Sulung, Johor.

“Pada 25 Julai lalu, lima lelaki pergi ke rumah ibu saya dengan menaiki Toyota Estima untuk menuntut wang dipinjam bekas suami berjumlah RM700,000.

“Bapa saya turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah itu pada keesokkannya untuk tujuan keselamatan.

“Susulan kejadian, saya diberitahu ahli keluarga mengenai salinan kad pengenalan saya ditaburkan di kawasan itu,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong.

Mengulas lanjut, mangsa berkata, dia dinasihati keluarganya untuk membuat satu laporan di Balai Polis Kluang, Johor, pada 26 Julai lalu.

“Saya buat laporan itu selepas ibu menerima ‘kunjungan’ enam lelaki pada hari sama dipercayai dihantar oleh along terbabit.

“Mereka meninggalkan nombor telefon seorang lelaki bernama John untuk proses rundingan dan saya membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat menyiasat latar belakang serta lokasinya.

“Walaupun laporan polis sudah dibuat, namun rumah ibu masih disimbah dengan cat merah pada keesokkannya, manakala cat biru serta merah disimbah di lokasi sama minggu lalu,” katanya.

Pada masa sama, mangsa meminta along terbabit berhenti mengganggu dan mengugut dia serta ahli keluarganya.

“Dalam hal ini, saya harap supaya polis dapat menjejaki bekas suami yang dipercayai melarikan diri selepas menyedari tidak dapat membayar wang pinjaman itu.

“Bekas suami harus tampil bantu menyelesaikan isu along itu, bukannya saya dan ahli keluarga yang kini tiada sebarang ikatan dengannya sejak dua tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Chong berkata pihaknya merekodkan sebanyak 231 kes along dari awal tahun ini sehingga Julai lalu, membabitkan RM21.2 juta.

“Sebanyak 172 daripada 231 kes itu membabitkan komuniti Cina terdiri daripada 132 lelaki dan 40 perempuan.

“Sementara 24 kes lagi membabitkan komuniti Melayu iaitu 16 perempuan dan lapan lelaki, manakala komuniti India pula mencatatkan 22 kes (17 lelaki dan 5 perempuan).

“Rata-rata penduduk kaum Cina dan India terbabit meminjam wang untuk berjudi, manakala orang Melayu pula sebagai modal perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 3:01 PM